AmTuah Jalin Kerjasama Dengan Gamesbond Hadapi Cabaran Virtuelle Bundesliga
Gary Lugard / March 24, 2018 / 6:28 PM
Nur Amirul Bin Afandi atau lebih dikenali oleh peminat sukan elektronik (e-sukan) FIFA dengan gelaran ‘AmTuah’ menjalinkan kerjasama bersama Gamesbond untuk menghadapi cabaran Tag Heuer Virtuelle Bundesliga di Jerman bermula 31 Mac akan datang.
Menurut AmTuah kerjasama tersebut dijalin atas pengalaman Gamesbond mengendalikan pemain e-sukan di dalam pertandingan di luar negara.
Beberapa hari sebelum itu, AmTuah turut mengesahkan beliau sudah tidak bersama pasukan lamanya, Firedragon atas persetujuan bersama.
Gamesbond merupakan salah satu pusat e-sukan berplatformkan konsol Playstation 4 terkemuka di Malaysia dan juga menguruskan pasukan e-Sports bagi LG Malaysia.
Antara atlet e-sukan Malaysia yang pernah dipertanggungjawabkan di bawah kendalian Gamesbond ialah seperti Fenrir di kejohanan antarabangsa FeWC Playoff di Barcelona, Lucy di kejohanan Asian Football Gaming Championship di Bangkok dan AmTuah sendiri di kejohanan ESWC di Paris.
Ketika dihubungi, AmTuah mengesahkan beliau akan bertolak ke Jerman pada Selasa hadapan untuk menghadapi cabaran sebagai wakil Asia Tenggara di kejohanan Tag Heuer Virtuelle Bundesliga itu.
AmTuah menjadi wakil tunggal negara dan Asia Tenggara selepas berjaya menjuarai pusingan peringkat serantau dengan menewaskan wakil dari Singapura, Muhammad Syakir Abdul Rauf pada bulan lalu.
Kejohanan Tag Heuer Virtuelle Bundesliga adalah kejohanan tahunan yang diadakan sejak tahun 2012 bagi mempromosikan Liga Bundesliga (Jerman) di mata dunia.
Menariknya bagi pertandingan edisi 2018 ini, kejohanan yang bakal disertai AmTuah ini telah dinaik taraf menjadi salah satu pusingan kelayakan untuk Fifa eWorld Cup (FeWC).
Pertandingan yang diadakan dari selama dua hari di Dusseldorf, Jerman ini turut menyaksikan 11 peserta terbaik dunia yang lain berentap sesama sendiri untuk merebut hadiah wang tunai keseluruhan bernilai £50,000 (RM276,900).
Buat AmTuah, kami dari pihak Semuanya BOLA mengucapkan selamat maju jaya!