E-Piala Malaysia mampu mantapkan suasana kompetitif FIFA tempatan
KUALA LUMPUR – Penganjuran E-Piala Malaysia dijangka bakal memeriahkan lagi suasana kompetitif FIFA di Malaysia, kata pemain profesional Gamesbond Esports, Luqman Haziq Hajiman.
Luqman berkata melalui pengajuran kejohanan itu, ia dapat memberikan pendedahan kepada lebih ramai pemain profesional tanah air untuk beraksi di peringkat yang lebih kompetitif.
“Saya berasa gembira dengan pengumuman penganjuran E-Piala Malaysia dan saya berharap dapat memberikan yang terbaik sekiranya diberikan peluang untuk beraksi di pertandingan berprestij ini.
“Selain E-Piala Malaysia, satu pertandingan liga turut diumumkan dan kini berada di peringkat perancangan.
“Ini pengumuman yang penting kerana sejak tahun lepas lagi saya menyeru agar liga bola sepak ePremier League yang mendapat sokongan EA Sports dapat diadakan di negara kita dan alhamdulillah, menerusi FIFA 20 ini, mungkin impian saya tercapai,” kata Luqman ketika dihubungi What’s The Meta.
Luqman yang mewakili Malaysia dalam Kejohanan La Liga Esports di Sepanyol pada bulan lalu turut berkata saingan liga juga dapat membantu pemain-pemain profesional untuk mengumpul mata tambahan bagi melayakkan diri ke FIFA eWorld.
Jelasnya, sebagai pemain dia menyambut dengan terbuka melalui kerjasama pihak MFL dan Gamesbond Global Sdn Bhd melalui penganjuran pertandingan E-Piala Malaysia nanti.
Sementara itu, bekas wakil Malaysia untuk Virtual Bundesliga (VBL) Asia Tenggara 2019, Putra Sufrie Nizam Subardron turut senada dengan Luqman mengenai E-Piala Malaysia.
Putra berkata kejohanan itu merupakan satu peluang yang baik bagi pemain-pemain FIFA untuk menaikkan nama mereka dalam arena e-sukan ini.
“Bagi saya dengan adanya MFL ini, ia dapat membuka mata ramai orang dan akan memberi kesedaran bahawa e-sukan ini ada masa depannya.
“Seharapnya saya dapat menjadi salah seorang pemain untuk E-Piala Malaysia ini,” kata Putra.
Minggu lepas, MFL mengumumkan mereka akan bekerjasama dengan Gamesbond untuk memperkenalkan kejohanan e-sukan E-Piala Malaysia bersempena saingan Piala Malaysia 2019 musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam berkata pihaknya menyedari perkembangan e-sukan semakin mendapat perhatian serius di kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
Lantaran itu, beliau berkata MFL turut tidak mahu ketinggalan untuk menyumbang kepada perkembangan e-sukan.