#ePialaMalaysia: Jurutera 33 tahun akhirnya kecapi impian sebagai pemain e-sukan kompetitif

SYAHRIL: Dulu hanya ada sekadar penganjuran pertandingan, tiada pendedahan seperti ini. Saya melihat kejohanan ePiala Malaysia ini sebagai satu peluang yang tidak boleh sia-siakan. - Foto What's The Meta / MARIAH AHMAD

SHAH ALAM – Impian yang tersemat di jiwa, jangan pernah sekali pudar dimakan usia.

Itu keazaman jurutera Muhammad Syahril Mispardi yang tidak pernah pendam hasratnya untuk menjadi antara yang terbaik dalam arena e-sukan bola sepak FIFA.

Syahril yang mula berjinak dalam FIFA sejak 2006 lagi berkata beliau berasa bangga apabila terpilih untuk mewakili pasukan Pahang FA sebagai atlet e-sukan yang bertanding dalam kejohanan ePiala Malaysia 2019.

“Walaupun orang kata usia saya sekarang ini pada peringkat pertengahan umur, tapi saya tetap bangga kerana dapat bersaing di peringkat yang tinggi ini dan masih boleh mengikut rentak pemain-pemain muda.

“Namun pengalaman bermain selama 13 tahun hanya boleh memberi sedikit sahaja kelebihan memandangkan setiap tahun FIFA mempunyai kemas kini yang berbeza.

“Saya perlu cepat menyesuaikan diri dengan perubahan itu seperti mereka,” katanya kepada What’s The Meta selepas menghadiri Majlis Undian ePiala Malaysia di Saujana Hotel, di sini hari ini.

Jelas Syahril lagi, suasana e-sukan ketika ini sangat berbeza dengan 13 tahun lalu apabila industri itu semakin dipandang serius.

“Ini memang satu impian saya sebagai seorang pemain kompetitif yang telah lama berada dalam arena e-sukan.

“Dulu hanya ada sekadar penganjuran pertandingan, tiada pendedahan seperti ini. Saya melihat kejohanan ePiala Malaysia ini sebagai satu peluang yang tidak boleh sia-siakan.

“Saya bukan orang Pahang, tetapi saya menyifatkan pemilihan ini sebagai satu amanah dan saya akan jalankan tanggungjawab ini dengan sebaiknya,” tambahnya.

Syahril berkata dia sangat mengkagumi Pahang FA sebagai satu kelab bola sepak di Malaysia, terutama mutu persembahan yang sangat baik pada tahun ini.

Lantaran itu, Syahril mengimpikan dan mahu berusaha keras untuk menaikkan nama Pahang FA.

ePiala Malaysia 2019 yang dianjurkan Malaysian Football League (MFL) dan Gamesbond Global bakal membuka tirai pada esok, menawarkan hadiah wang terkumpul RM10,000.

Syahril mendapat kedudukan TOP 16 Grand Final Konvensyen Sukan Elektronik Dunia di Paris pada tahun 2012 dan 2015 bakal bertemu dengan pemain yang mewakili pasukan Melaka Mirza Mohammad Nabil Beg Mirza Mohammad Taiyab Beg (Bale).