Dulu ‘buang’ duit, kini tauke ‘game’
Siti Nur Mas Erah Amran – Jun 8, 2017 @ 12:04am
DUA sahabat yang dulunya begitu menggemari permainan video dan sanggup menghabiskan ribuan ringgit bagi memenuhi hobi mereka, kini berganding bahu menubuhkan pusat permainan berkenaan, sejak dua tahun lalu.
Pusat permainan video berkonsepkan kekeluargaan itu diusahakan Muhammad Fazli Razak bersama Lee Sook Yin, masing-masing di Kota Damansara, Petaling Jaya dan Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.
Kedua-duanya mengakui, gemar bermain permainan video sejak kecil lagi hingga mendorong mereka menceburi bidang perniagaan berkenaan secara serius.
Muhammad Fazli yang mesra disapa sebagai Fazli berkata, sejak zaman bergelar mahasiswa universiti lagi mereka berdua bercita-cita membuka pusat permainan video, bukan saja untuk kegunaan sendiri malah terbuka kepada orang ramai.
“Secara jujurnya, kami langsung tidak memiliki ilmu mahupun kemahiran berniaga kerana masing-masing mengambil jurusan nutrisi.
“Kami kuatkan semangat mengumpul modal awal perniagaan dan akhirnya usaha berkenaan menjadi kenyataan dengan membukanya di Kota Damansara sebelum cawangan Bandar Tasik Permaisuri,” katanya kepada BH.
Fazli berkata, objektif mereka mudah iaitu menyediakan pusat riadah yang bukan sahaja boleh dikunjungi bersama rakan malah sesuai untuk seisi keluarga.
“Tidak dinafikan, ramai beranggapan pusat permainan video sebagai tempat budak melepak dan menghabiskan masa dengan kegiatan tidak berfaedah.
“Hakikatnya, pusat sedemikian sebagai tempat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan. Ternyata, cubaan kami berjaya kerana ramai menjadikan aktiviti ini sebagai kegiatan riadah terutamanya kepada anak muda pada hujung minggu.
“Lebih menarik ibu bapa juga ramai yang datang dan membawa anak mereka bermain bersama-sama di sini,” katanya.
Fazli berkata, mereka berdua tidak memiliki masalah membahagikan masa menguruskan perniagaan itu kerana faham dengan tugasan masing-masing.
“Urusan berjalan lancar pada siang hari dan waktu malam. Kami mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu teknikal atau apa juga perkara berbangkit perlu diselesaikan segera.
“Selalunya kami akan lakukan sesi ‘brainstorming’ untuk cari idea terkini yang boleh dilaksanakan untuk memantapkan perniagaan ini,” katanya.
Permainan hilangkan tekanan
Sook Yin atau lebih mesra dipanggil Suki berkata, beliau lebih banyak berinteraksi dengan syarikat korporat bagi menjalinkan kolaborasi bagi program ‘pertandingan’ atau ‘team building’ menerusi permainan video.
“Ramai tidak menyedari permainan video Playstation ini berupaya menghilangkan tekanan. Tidak hairanlah, premis kami disewa khas bagi tujuan ‘team building’ dan masa ini adalah waktu yang paling sesuai eratkan hubungan antara majikan dan pekerja.
“Ada kakitangan berusia segan bermain namun apabila dikumpulkan bersama rakan-rakan lain, mereka tak malu mencuba malah suasana jadi lebih seronok dan positif,” katanya.
Promosi kerjaya permainan video
Kedua-dua sahabat karib ini pernah membawa wakil Malaysia, Amirul ‘AmTuah’ Afandi’ untuk berentap dalam kejohanan FIFA 17 di Piala Dunia Sukan Elektronik 2016 (ESWC) yang berlangsung di Paris, Perancis tahun lalu.
“Banyak kenangan pahit dan manis kami tempuhi dan segala pengalaman itu digunakan sebagai panduan pada masa akan datang.
“Di Malaysia, pekerjaan sebagai pemain video profesional kedengaran pelik namun berbeza senarionya di luar negara kerana ramai anak muda yang menjadikan bidang ini sebagai satu kerjaya,” katanya.