Satu Idea, Satu Matlamat

SUASANA kemeriahan di studio Gamesbond

Ingin lari daripada kebiasaan, itu prinsip yang melakar perjalanan hidup dua anak muda, Fazli Razak, 26 dan Suki Lee, 27, dalam dunia perniagaan.

Keinginan memberi akses kepada anak muda berhibur secara sihat membuka lembaran baru bagi mereka untuk menubuhkan Gamesbond, sebuah ‘gaming’ studio dan premis menjual kelengkapan permainan video khususnya Playstation 4 (PS4).

 

Menurut Fazli, tercetusnya idea di sebalik penubuhan ini semuanya bermula selepas dia menamatkan pengajian di menara gading bersama Suki.

“Apa yang saya lihat, terdapat banyak kedai menjual kelengkapan konsol tapi tidak pula menawarkan studio untuk anak muda berkumpul begitu juga sebaliknya.

“Justeru, kami bermain dengan idea untuk menarik lebih ramai anak muda hadir ke studio bukan setakat atas urusan jual beli tapi lepak dalam suasana sihat, santai dan paling penting, bebas daripada aktiviti merokok,” katanya.

Dengan lebih daripada 10 bilangan PS4 dan dua ‘racing simulator’, Gamesbond turut menyediakan perkhidmatan sewaan kelengkapan permainan video PS4 bagi tujuan majlis atau acara luar yang berkaitan.

Perkasa industri sukan elektronik

Melihatkan kejayaan itu mencipta satu lagi perspektif baru bagi mereka mempelbagaikan eksperimen dalam perniagaan. Selain menjadi pusat tumpuan anak muda berhibur, empayar Gamesbond terus diperluaskan dengan fokus terkini pada sukan elektronik khususnya FIFA.

Suki berkata, hobi segelintir anak muda yang lebih tertumpu kepada permainan konsol perlu dimanfaatkan dalam skala lebih besar dan bakat mereka perlu digilap.

“Permainan video FIFA mempunyai ramai peminat dan mudah dimainkan semua lapisan usia. Ia turut dikategorikan sebagai sukan elektronik.

“Malah, ia antara permainan video yang sering dimainkan oleh pelanggan jadi ini membuka mata kami untuk cuba kelainan,” katanya.

Menyedari kecenderungan anak muda terhadap sukan elektronik FIFA ini, Gamesbond mula menganjurkan pertandingan dalam skala kecil khususnya untuk peminat permainan itu.

“Pada tahun lalu kami hanya adakan ia secara kecil-kecilan, cukup untuk 16-32 slot saja. Alhamdulillah, sambutannya cukup meriah dan ramai yang bertanyakan jika ada lagi kekosongan untuk bertanding.

“Disebabkan itu, kami cuba memajukan industri ini dan beri peluang kepada mereka yang komited. Kami cuba format baru untuk memuatkan lebih ramai pemain dapat bertanding selain merebut wang tunai lebih lumayan.

“Setakat ini yang terbesar pernah kami anjurkan ialah FIFA 16 Champions Tournament untuk 256 pemain dan sambutannya sangat menggalakkan,” katanya.

Akui risiko pasti ada

Bercerita soal bisnes, keinginan menjayakan sesebuah syarikat yang baru saja menampakkan sinarnya, sememangnya kita perlu berkorban banyak perkara.

Bagi pasangan ini, mereka tidak kisah jika perlu bekerja tetap buat masa ini sementara mencuri masa terluang untuk mengendalikan urusan di studio.

Fazli berkata, soal penat dan sibuk perlu ditolak tepi kerana yang penting minat, matlamat dan visi perlu diutamakan kerana bagi dirinya Gamesbond adalah antara platform untuk menghubungkan peminat dan industri.

“Nama Gamesbond itu sendiri terbentuk kerana pentingnya hubungan antara kami selaku penggiat industri dan pelanggan yang juga pemain dan peminat permainan konsol.

“Soal urusan kerja, memang penat menguruskan dua hal dalam satu masa tapi saya tak kisah kerana inilah impian saya dan Suki selama ini iaitu menaikkan industri sukan elektronik di Malaysia.

“Bagi saya, kebanyakan kerja boleh dilakukan dalam talian jadi teknologi itu sendiri memudahkan kami. Malah, kami turut mempunyai rakan yang membantu kerja di studio,” katanya.

Kini, Gamesbond dengan kerjasama Red Bull Malaysia (RBM) dan Fallout Gaming menaja Team_Infinite dalam usaha menggilap bakat anak muda tempatan yang komited dalam sukan elektronik FIFA. Syabas diucapkan kepada Gamesbond!

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 9:27 AM